Sunday, 22 December 2024

Hidup Sebagai Abang: Sakit Tapi Tetap Sayang

                    Jadi abang ni tak semudah yang orang bayangkan. Dari luar nampak macam senang, tapi hakikatnya, banyak benda yang aku pendam. Tapi itulah, jadi abang ni memang kerja dia macam tu kot. Pendam. Diam. Sabar. Bukan sebab aku tak nak cakap apa-apa, tapi aku rasa aku ni dah terbiasa letak adik aku dulu sebelum diri sendiri.

Aku sayang adik aku. Sumpah sayang. Dari dulu, masa dia kecik lagi, aku dah rasa tanggungjawab nak jaga dia. Kalau boleh, aku nak dia tak pernah rasa susah. Semua benda aku cuba bagi, walaupun kadang-kadang aku sendiri tak cukup. Aku ingat lagi masa dia minta barang masa sekolah dulu. Duit tak cukup, tapi aku sanggup ikat perut, asalkan dia dapat apa yang dia nak. Tak apalah, aku fikir, asalkan dia bahagia, aku pun lega.

Tapi nak jadi abang ni bukan semua benda happy-happy je. Ada masa aku rasa macam aku ni tak dihargai pun. Contohnya, aku bergurau sikit dengan dia, terus dia balas dengan makian. Aku? Gelak je, walaupun hati ni rasa macam kena tikam. Sebab aku tahu, dia tak maksudkan pun (kot). Kadang-kadang bila dia marah aku, aku diam je. Bukan sebab aku takut nak lawan, tapi aku fikir, apa guna gaduh? Dia adik aku. Dia darah daging aku. Kalau aku sakit hati sekalipun, aku takkan balas balik.

Aku jenis kalau bercakap, lembut. Tak reti nak tinggi suara. Tapi dia? Aduh, jangan cerita la. Kadang-kadang aku cakap elok-elok, dia balas macam aku ni tak layak pun bagi pendapat. Perit? Mestilah perit. Tapi aku biar je. Aku anggap dia tengah emosi. Biasalah, adik-adik ni kan, kadang mereka lupa. Aku yang abang ni, walaupun rasa nak balas, aku tahan je. Sebab aku tahu, kalau aku melawan, nanti aku jugak yang rasa bersalah.

Ada masa aku terasa. Ada masa aku penat. Tapi aku tak tunjuk. Aku fikir macam ni je – aku ni abang. Kalau aku sendiri tak boleh sabar dengan adik aku, siapa lagi yang dia ada nak bergantung harap? Kalau dia nak marah, biar dia marah. Kalau dia nak kurang ajar pun, biar aku terima. Sebab aku tahu, satu hari nanti dia akan faham. Bila dia dah besar, bila dia dah melalui sendiri susah senang hidup, masa tu dia akan sedar apa yang aku buat ni bukan sebab aku lemah, tapi sebab aku sayang.

Orang selalu tanya aku, “Kenapa kau manjakan sangat adik kau?” Aku senyum je. Bukan sebab aku tak ada jawapan, tapi sebab aku rasa orang luar tak akan faham. Bagi aku, adik aku tu amanah. Dia amanah yang Tuhan bagi untuk aku jaga. Aku buat semua ni bukan sebab aku nak dia balas. Aku buat sebab aku nak tengok dia bahagia. Aku nak tengok dia senyum. Kalau aku kena korbankan segalanya untuk dia, aku sanggup.

Tapi kadang-kadang aku terfikir jugak. Sampai bila aku boleh bertahan? Sampai bila aku boleh diam? Aku tak tahu. Tapi aku selalu doa, semoga dia tahu yang walaupun aku tak cakap, aku sayang dia lebih dari apa yang dia boleh bayangkan. Satu hari nanti, bila aku dah tak ada, aku harap dia akan ingat – abang dia ni pernah buat segalanya untuk dia.

Jadi abang ni bukan nak sempurna, tapi cukup kalau aku tahu aku dah buat yang terbaik untuk adik aku. Walau aku tak cakap, walau aku tak tunjuk, kasih sayang aku sentiasa ada. Aku percaya, setiap pengorbanan yang ikhlas tak perlukan penghargaan segera. Sebab kasih sayang ni bukannya benda yang kau ukur dengan balasan, tapi dengan keikhlasan hati.

Kalau kau jadi seorang abang, ingatlah: tugas kita bukan untuk dihargai, tapi untuk menyayangi. Satu hari nanti, adik-adik kita akan faham. Bila kita tak ada, memori kasih sayang yang kita tinggalkan akan jadi kekuatan untuk mereka teruskan hidup.

Jangan pernah berhenti menyayangi, walaupun penat. Sebab satu senyuman mereka boleh hilangkan seribu luka di hati kita. Dan bila kau rasa nak menyerah, ingat ini: kasih seorang abang takkan pernah habis, walaupun dunia berhenti.

Friday, 20 December 2024

Hargai Selagi Masih Ada

     Asslamaulaikum

Dalam kehidupan, sering kali kita terlepas pandang akan kehadiran insan-insan yang penting di sekeliling kita. Sama ada keluarga, sahabat, atau sesiapa yang berjasa dalam hidup kita, penghargaan terhadap mereka sering kali hanya hadir setelah mereka tiada. Oleh itu, amat penting untuk kita menyedari nilai mereka dan menghargai mereka selagi masih ada peluang.

Menghargai selagi masih ada bermaksud memberikan perhatian, kasih sayang, dan pengiktirafan kepada seseorang semasa mereka masih bersama kita. Ia melibatkan tindakan kecil seperti meluangkan masa, mengucapkan terima kasih, atau sekadar bertanya khabar. Penghargaan ini bukan sahaja ditunjukkan melalui kata-kata, tetapi juga melalui perbuatan yang menunjukkan keprihatinan dan rasa hormat terhadap mereka. Ia adalah kesedaran untuk tidak mengambil mereka atau usaha mereka sebagai sesuatu yang remeh atau biasa.

Kita perlu menghargai orang lain kerana mereka adalah sebahagian daripada kebahagiaan dan perjalanan hidup kita. Kehadiran mereka memberi sokongan, nasihat, dan semangat, terutama ketika kita melalui saat-saat sukar. Selain itu, penghargaan juga mengukuhkan hubungan dan membuat seseorang rasa dihargai, sekaligus mendorong mereka untuk terus berusaha memberi yang terbaik. Kita tidak tahu bila saat terakhir kita akan bersama mereka; oleh itu, menghargai mereka selagi ada adalah cara untuk menunjukkan kasih sayang tanpa penyesalan di masa depan.

Jika kita gagal menghargai seseorang, hubungan tersebut boleh menjadi renggang. Seseorang yang tidak dihargai mungkin merasa tersisih, rendah diri, atau tidak bermakna. Dalam jangka masa panjang, kehilangan mereka boleh membawa penyesalan yang mendalam apabila kita menyedari jasa dan peranan mereka dalam hidup kita setelah terlambat. Kekecewaan ini akan menghantui kita dan menjadi peringatan pahit bahawa peluang yang terlepas tidak dapat diulang kembali.

Sebagai kesimpulan, menghargai seseorang selagi mereka masih ada adalah suatu kewajiban yang harus diutamakan dalam kehidupan. Ia bukan sahaja mengekalkan hubungan yang erat, tetapi juga memberi makna kepada kehidupan kedua-dua pihak. Jangan tunggu hingga terlambat untuk mengungkapkan rasa kasih sayang dan penghargaan. Hargailah mereka hari ini, kerana esok belum tentu milik kita.

Kalau Kau Teringat Aku, Jangan Tunggu Aku Mati Dulu Baru Kau Cerita

Assalamualaikum. Eh kejap selamat malam dulu lah kot. Yelah, sopan sikit. Takkan masuk blog orang terus tembak perasaan. Kau ni pun satu. T...