Thursday, 6 February 2025

Aku Penat

 Aku tak faham dengan diri aku sendiri. Aku dah cuba buat sehabis baik, memberikan segala yang aku mampu, tetapi akhirnya, semuanya terasa sia-sia. Aku belanja dia macam-macam, aku cuba buat dia gembira, aku pastikan dia tak kekurangan apa-apa. Aku tak mengharapkan balasan, cuma ingin melihat senyuman di wajahnya. Tetapi, apa yang aku dapat? Pandangan yang dingin, wajah yang berubah, seolah-olah kehadiran aku hanyalah sesuatu yang menyusahkan.


Aku tak tahu di mana silap aku. Adakah aku terlalu memaksa? Adakah usaha aku selama ini hanya menyusahkan dia? Aku cuba faham, tapi semakin aku fikir, semakin hati aku terasa kosong. Aku letih. Aku rasa macam aku seorang diri dalam dunia ni, cuba berikan yang terbaik untuk orang lain, tapi akhirnya aku sendiri yang dibiarkan.

Kadang-kadang, hati kecilku berbisik… mungkin lebih baik aku pergi jauh. Jauh sejauh yang aku mampu, meninggalkan semua orang, menghilangkan diri dari kehidupan mereka. Mungkin dengan ketiadaan aku, dunia mereka akan jadi lebih tenang. Mungkin dengan kehilangan aku, mereka akhirnya akan bahagia.

Aku bayangkan satu hari nanti, aku betul-betul menghilang. Adakah sesiapa akan mencariku? Adakah sesiapa akan merindui aku? Atau mereka hanya akan menarik nafas lega kerana aku bukan lagi ‘masalah’ dalam hidup mereka? Aku penat… penat cuba memahami orang, penat cuba buat orang gembira, tetapi akhirnya aku sendiri yang kesepian.

Setiap kali aku cuba pujuk hati sendiri, cuba fikir yang semuanya akan baik-baik saja, ada satu bahagian dalam diri aku yang berbisik, “Kau tahu itu tak benar.” Aku boleh tersenyum, aku boleh berpura-pura kuat, tapi dalam hati, luka itu semakin dalam.

Aku cuma mahu rasa dihargai… itu saja. Tapi mungkin itu terlalu banyak untuk diminta.

Malam itu aku duduk di tepi katil, termenung ke luar tingkap. Langit gelap, hanya ada sinar bulan yang samar-samar menerangi kegelapan malam. Angin malam menyapa wajahku, dingin, seolah-olah memahami apa yang aku rasa.

Aku tarik nafas dalam-dalam. Aku letih. Tapi aku tahu, pergi bukan jawapan. Aku pernah berharap ada seseorang yang faham perasaan aku, tapi kalau tak ada siapa yang boleh faham… mungkin aku sendiri kena belajar faham diri aku dulu.

Aku capai telefon, menaip sesuatu dalam nota—“Kau dah buat yang terbaik, tak salah kalau kau jaga diri sendiri sekarang.” Aku baca ayat itu berulang kali, cuba yakinkan diri sendiri.

Mungkin bukan orang lain yang perlu hargai aku… mungkin aku yang perlu belajar hargai diri sendiri dulu.

Keesokan harinya, aku bangun dengan perasaan yang sama—kosong. Tapi kali ini, aku cuba untuk buat sesuatu untuk diri aku sendiri. Aku keluar, hirup udara pagi, biarkan sinar matahari menyentuh kulit. Aku singgah di kedai kopi kegemaranku, pesan minuman yang selalu aku belanja orang lain. Tapi kali ini, aku belanja diri sendiri.

Aku lihat orang sekeliling—semuanya sibuk dengan kehidupan masing-masing. Ada yang ketawa bersama teman, ada yang duduk seorang diri seperti aku. Aku sedar… dunia tak pernah berhenti untuk sesiapa.

Aku tak perlu buat semua orang suka aku. Aku tak perlu paksa diri untuk puaskan hati orang lain kalau akhirnya aku sendiri yang terluka. Untuk pertama kali, aku cuba fikirkan diri aku dulu. Aku cuba faham yang aku juga layak untuk rasa bahagia, tanpa perlu bergantung pada sesiapa.

Aku berjalan perlahan di kaki lima, membiarkan angin menyapa wajahku. Bunyi keriuhan kota di sekeliling terasa jauh, seperti dunia ini sedang memberikan aku ruang untuk bernafas. Aku tak tahu berapa lama masa yang aku perlukan untuk benar-benar pulih, tapi aku tahu satu perkara—aku takkan berhenti mencuba.

Mungkin selama ini aku mencari kebahagiaan di tempat yang salah. Aku terlalu sibuk cuba bahagiakan orang lain sehingga aku lupa untuk membahagiakan diri sendiri.

Dan untuk kali pertama dalam hidup aku… aku memilih diri aku. Aku memilih untuk mencintai diri sendiri, walaupun dunia tak pernah peduli

Saturday, 4 January 2025

Abah, Harini Aku Rasa Lain Macam…

Harini aku dengan sepupu lepak kat Padang Besar. Ada gathering kecil-kecilan, jadi alang-alang join la sekali. Sampai je situ, terus pergi makan kat Arked Niaga—kalau korang pernah sampai, mesti tahu tempat ni memang port wajib makan. Sedap betul nasi goreng dia, dengan teh ais pekat. Tengah syok makan, sembang gelak-gelak, tiba-tiba telefon berbunyi. Nama abah muncul kat skrin.

Aku terus jawab panggilan tu, ingatkan dia nak tanya pasal aku kat mana, sebab biasa abah memang suka check-in gitu. Tapi kali ni suara lain yang aku dengar—mak tiri. Dia bagi tahu, abah dah ditidurkan. Jantung aku rasa macam terhenti kejap.

“Apa? Kenapa abah?” Aku cuba kawal suara, walaupun dalam hati dah bergetar habis.

Dia cerita abah tak sihat sejak beberapa hari, dan doktor ambil keputusan untuk tidurkan dia supaya badan dia boleh rehat. Lepas panggilan tu, aku duduk diam, cuba tahan sebak. Mata pandang makanan, tapi selera dah hilang.

Aku cepat-cepat bagitahu sepupu aku yang aku kena ke hospital Kangar. Anak saudara aku tolong bawa kereta. Dia tak ada lesen penuh, cuma ada lesen L, tapi dia pandai drive. Aku bersyukur ada dia waktu tu sebab aku sendiri tak rasa mampu nak fokus bawa kereta dengan kepala aku yang tengah serabut.

Sampai je hospital, aku terus naik ke wad. Dalam perjalanan, aku cuba call seseorang yang aku rasa aku paling nak kongsi benda ni. Dia. Tapi call tak berjawab. Aku cuba lagi. Spam mesej. Sunyi. Takde respon.

Di depan abah, aku tengok dia dalam keadaan kritikal. Tiub penuh berselirat. Nafas dia perlahan, mesin je yang bunyi. Hati aku berat, tapi aku tahu aku kena kuat. Lepas sekejap, aku turun ke bawah. Aku duduk dalam kereta dengan anak saudara aku, tunggu ibu sampai.

Ibu sampai lebih kurang sejam lepas tu. Aku temankan dia naik melawat abah. Ibu duduk kat sisi abah, lama dia pandang. Aku tahu ibu tengah menahan tangis. Dia cuma nak ada dengan abah waktu ni. Lepas sejam, ibu turun, dan kami semua keluar cari makan.

Kami singgah kat Koma Seafood. Aku cuba makan, tapi hati aku masih tak tenang. Jam 8:12 malam, aku dapat mesej dari dia. Katanya, kalau nak call, guna nombor satu lagi. Aku balas mesej tu sejam lepas tu, pukul 9:12 malam. Kemudian, aku cuba call dia lagi pukul 10 malam. Tapi sama juga… tak berjawab.

Petang tadi, aku belajar satu benda. Dalam hidup ni, kita tak boleh selalu harap orang yang kita nak ada, tapi percayalah… Allah tetap hantar seseorang. Kadang-kadang orang tu bukan yang kita cari, tapi dia tetap orang yang kita perlukan waktu tu. Anak saudara aku, sepupu aku, kawan aku—mereka semua ada untuk aku harini, dan aku syukur sangat.

Doakan abah aku ya.

Sunday, 22 December 2024

Hidup Sebagai Abang: Sakit Tapi Tetap Sayang

                    Jadi abang ni tak semudah yang orang bayangkan. Dari luar nampak macam senang, tapi hakikatnya, banyak benda yang aku pendam. Tapi itulah, jadi abang ni memang kerja dia macam tu kot. Pendam. Diam. Sabar. Bukan sebab aku tak nak cakap apa-apa, tapi aku rasa aku ni dah terbiasa letak adik aku dulu sebelum diri sendiri.

Aku sayang adik aku. Sumpah sayang. Dari dulu, masa dia kecik lagi, aku dah rasa tanggungjawab nak jaga dia. Kalau boleh, aku nak dia tak pernah rasa susah. Semua benda aku cuba bagi, walaupun kadang-kadang aku sendiri tak cukup. Aku ingat lagi masa dia minta barang masa sekolah dulu. Duit tak cukup, tapi aku sanggup ikat perut, asalkan dia dapat apa yang dia nak. Tak apalah, aku fikir, asalkan dia bahagia, aku pun lega.

Tapi nak jadi abang ni bukan semua benda happy-happy je. Ada masa aku rasa macam aku ni tak dihargai pun. Contohnya, aku bergurau sikit dengan dia, terus dia balas dengan makian. Aku? Gelak je, walaupun hati ni rasa macam kena tikam. Sebab aku tahu, dia tak maksudkan pun (kot). Kadang-kadang bila dia marah aku, aku diam je. Bukan sebab aku takut nak lawan, tapi aku fikir, apa guna gaduh? Dia adik aku. Dia darah daging aku. Kalau aku sakit hati sekalipun, aku takkan balas balik.

Aku jenis kalau bercakap, lembut. Tak reti nak tinggi suara. Tapi dia? Aduh, jangan cerita la. Kadang-kadang aku cakap elok-elok, dia balas macam aku ni tak layak pun bagi pendapat. Perit? Mestilah perit. Tapi aku biar je. Aku anggap dia tengah emosi. Biasalah, adik-adik ni kan, kadang mereka lupa. Aku yang abang ni, walaupun rasa nak balas, aku tahan je. Sebab aku tahu, kalau aku melawan, nanti aku jugak yang rasa bersalah.

Ada masa aku terasa. Ada masa aku penat. Tapi aku tak tunjuk. Aku fikir macam ni je – aku ni abang. Kalau aku sendiri tak boleh sabar dengan adik aku, siapa lagi yang dia ada nak bergantung harap? Kalau dia nak marah, biar dia marah. Kalau dia nak kurang ajar pun, biar aku terima. Sebab aku tahu, satu hari nanti dia akan faham. Bila dia dah besar, bila dia dah melalui sendiri susah senang hidup, masa tu dia akan sedar apa yang aku buat ni bukan sebab aku lemah, tapi sebab aku sayang.

Orang selalu tanya aku, “Kenapa kau manjakan sangat adik kau?” Aku senyum je. Bukan sebab aku tak ada jawapan, tapi sebab aku rasa orang luar tak akan faham. Bagi aku, adik aku tu amanah. Dia amanah yang Tuhan bagi untuk aku jaga. Aku buat semua ni bukan sebab aku nak dia balas. Aku buat sebab aku nak tengok dia bahagia. Aku nak tengok dia senyum. Kalau aku kena korbankan segalanya untuk dia, aku sanggup.

Tapi kadang-kadang aku terfikir jugak. Sampai bila aku boleh bertahan? Sampai bila aku boleh diam? Aku tak tahu. Tapi aku selalu doa, semoga dia tahu yang walaupun aku tak cakap, aku sayang dia lebih dari apa yang dia boleh bayangkan. Satu hari nanti, bila aku dah tak ada, aku harap dia akan ingat – abang dia ni pernah buat segalanya untuk dia.

Jadi abang ni bukan nak sempurna, tapi cukup kalau aku tahu aku dah buat yang terbaik untuk adik aku. Walau aku tak cakap, walau aku tak tunjuk, kasih sayang aku sentiasa ada. Aku percaya, setiap pengorbanan yang ikhlas tak perlukan penghargaan segera. Sebab kasih sayang ni bukannya benda yang kau ukur dengan balasan, tapi dengan keikhlasan hati.

Kalau kau jadi seorang abang, ingatlah: tugas kita bukan untuk dihargai, tapi untuk menyayangi. Satu hari nanti, adik-adik kita akan faham. Bila kita tak ada, memori kasih sayang yang kita tinggalkan akan jadi kekuatan untuk mereka teruskan hidup.

Jangan pernah berhenti menyayangi, walaupun penat. Sebab satu senyuman mereka boleh hilangkan seribu luka di hati kita. Dan bila kau rasa nak menyerah, ingat ini: kasih seorang abang takkan pernah habis, walaupun dunia berhenti.

Friday, 20 December 2024

Hargai Selagi Masih Ada

     Asslamaulaikum

Dalam kehidupan, sering kali kita terlepas pandang akan kehadiran insan-insan yang penting di sekeliling kita. Sama ada keluarga, sahabat, atau sesiapa yang berjasa dalam hidup kita, penghargaan terhadap mereka sering kali hanya hadir setelah mereka tiada. Oleh itu, amat penting untuk kita menyedari nilai mereka dan menghargai mereka selagi masih ada peluang.

Menghargai selagi masih ada bermaksud memberikan perhatian, kasih sayang, dan pengiktirafan kepada seseorang semasa mereka masih bersama kita. Ia melibatkan tindakan kecil seperti meluangkan masa, mengucapkan terima kasih, atau sekadar bertanya khabar. Penghargaan ini bukan sahaja ditunjukkan melalui kata-kata, tetapi juga melalui perbuatan yang menunjukkan keprihatinan dan rasa hormat terhadap mereka. Ia adalah kesedaran untuk tidak mengambil mereka atau usaha mereka sebagai sesuatu yang remeh atau biasa.

Kita perlu menghargai orang lain kerana mereka adalah sebahagian daripada kebahagiaan dan perjalanan hidup kita. Kehadiran mereka memberi sokongan, nasihat, dan semangat, terutama ketika kita melalui saat-saat sukar. Selain itu, penghargaan juga mengukuhkan hubungan dan membuat seseorang rasa dihargai, sekaligus mendorong mereka untuk terus berusaha memberi yang terbaik. Kita tidak tahu bila saat terakhir kita akan bersama mereka; oleh itu, menghargai mereka selagi ada adalah cara untuk menunjukkan kasih sayang tanpa penyesalan di masa depan.

Jika kita gagal menghargai seseorang, hubungan tersebut boleh menjadi renggang. Seseorang yang tidak dihargai mungkin merasa tersisih, rendah diri, atau tidak bermakna. Dalam jangka masa panjang, kehilangan mereka boleh membawa penyesalan yang mendalam apabila kita menyedari jasa dan peranan mereka dalam hidup kita setelah terlambat. Kekecewaan ini akan menghantui kita dan menjadi peringatan pahit bahawa peluang yang terlepas tidak dapat diulang kembali.

Sebagai kesimpulan, menghargai seseorang selagi mereka masih ada adalah suatu kewajiban yang harus diutamakan dalam kehidupan. Ia bukan sahaja mengekalkan hubungan yang erat, tetapi juga memberi makna kepada kehidupan kedua-dua pihak. Jangan tunggu hingga terlambat untuk mengungkapkan rasa kasih sayang dan penghargaan. Hargailah mereka hari ini, kerana esok belum tentu milik kita.

Kalau Kau Teringat Aku, Jangan Tunggu Aku Mati Dulu Baru Kau Cerita

Assalamualaikum. Eh kejap selamat malam dulu lah kot. Yelah, sopan sikit. Takkan masuk blog orang terus tembak perasaan. Kau ni pun satu. T...