Pernah tak kita fikir, dalam hidup ini ada seseorang yang sanggup berkorban segalanya hanya untuk melihat kita bahagia? Seseorang yang tak pernah berkira, tak pernah meminta balasan, hanya mahu kita ada di sisinya… seseorang yang kita panggil abang.
Dia selalu utamakan kita, walaupun perkara itu penting untuk dirinya sendiri. Jika ada dua pilihan—antara kepentingan dirinya dan kita, dia akan pilih kita tanpa ragu. Dia rela kehabisan duit, rela bersusah payah, rela mengorbankan segalanya hanya untuk melihat kita tersenyum. Tapi kita? Pernah tak kita nampak semua itu?
Bila dia ada orang lain dalam hidupnya, kita marah. Kita tuduh dia tak sayang kita. Kita paksa dia memilih, dan tanpa berfikir panjang, dia tinggalkan mereka demi kita. Tapi bila dia minta perkara yang sama? Bila dia harap kita beri sedikit masa untuknya? Kita jawab mudah, “Aku ni adik, bukan kekasih.” Kita buat seolah-olah permintaan dia tak masuk akal, seolah-olah dia tak berhak meminta apa-apa dari kita.
Dia pernah berjanji untuk tidak menghisap pod. Kita percaya, kita pegang kata-katanya. Tapi akhirnya? Dia tetap hisap juga. Kita marah. Kita hukum dia. Kita palau dia seolah-olah dia tak wujud. Dia menangis, dia merayu macam pengemis meminta maaf, buat apa saja untuk tarik perhatian kita, tapi kita? Kita biarkan dia tersiksa dengan rasa bersalah, seolah-olah semua yang pernah dia lakukan tak pernah bermakna.
Hari-hari, dia spam call, spam chat, minta maaf, tulis panjang tentang betapa dia menyesal. Dia cakap dia salah, dia cakap dia tak patut buat begitu, dia cakap dia tak nak kehilangan kita. Namun, kita justru memberitahu orang luar, membuatkan dia malu dan akhirnya menghentikan segala usahanya itu. Begitulah kita, terlalu sibuk mempertahankan harga diri sendiri sehingga lupa menghargai kasih sayang yang dipersembahkan dengan tulus.
Dia selalu ada bila kita susah, tapi bila tiba masanya untuk dihargai, orang lain yang mendapat nama. Dia yang bersusah payah, tapi orang luar yang dipuji. Dia tersenyum di belakang, menahan rasa, tapi tak pernah sekalipun merungut.
Kita menangis, dia pujuk. Kita kecewa, dia tenangkan. Tapi bila dia menangis? Tiada siapa pun ada untuk dia. Dia hanya diam, menangis sendirian, sebab dia tahu… tak ada sesiapa yang akan peduli.
Bila dia salah, dia cepat-cepat minta maaf, walaupun kesalahannya kecil. Tapi bila kita yang salah? Dia tetap juga yang meminta maaf berkali-kali, seolah-olah semuanya salah dia. Kita tak pernah nampak betapa banyak air mata yang dia tahan, betapa banyak kali dia terpaksa memujuk dirinya sendiri untuk terus bersabar.
Dan bila orang bertanya, “Korang gaduh ke?” Dia masih mampu tersenyum dan jawab, “Ehh tak lah…” Dia sanggup menipu dirinya sendiri, hanya untuk jaga hubungan ini. Hanya untuk jaga kita.
Tapi sampai bila? Sampai bila dia harus bertahan?
Sampailah satu hari, dia pergi. Bukan sebab dia mahu, tapi kerana dia sudah terlalu lelah. Kita cari dia, tapi sudah terlambat. Kita panggil namanya, tapi dia tak menyahut. Kita menangis, merayu, mohon maaf, tapi semua itu tidak bermakna lagi.
Kini yang tinggal hanyalah kenangan. Suara lembutnya yang dulu selalu memanggil kita. Senyumannya yang dulu selalu menenangkan. Setiap pengorbanannya yang dulu kita abaikan, kini hanya menghantui.
Dan yang paling menyakitkan? Kita hanya sedar segalanya selepas dia tiada.
Jadi sebelum semuanya terlambat, sebelum dia benar-benar pergi, tanyalah diri sendiri… “Pernahkah aku hargai abang seperti mana dia menghargai aku?”
No comments:
Post a Comment