Pernah tak kita terfikir, dalam hidup ini ada seseorang yang sanggup berkorban segalanya hanya untuk melihat kita bahagia? Masa, tenaga, wang ringgit—semua itu dia lepaskan tanpa berkira, tanpa mengharapkan apa-apa balasan, kecuali satu… masa kita.
Dia selalu ada saat kita jatuh, saat dunia terasa berat, saat kita hilang arah. Dia tak pernah mengeluh walaupun dia sendiri mungkin sedang bergelut dengan masalahnya sendiri. Dia cuba buat kita ketawa walaupun hatinya mungkin penuh luka. Dia tetap ada, tetap bertahan walaupun kadang-kadang kita buat dia terasa jauh, terasa tak dihargai.
Tapi apa yang kita balas? Kita abaikan dia. Kita sakiti hatinya dengan kata-kata dan perbuatan tanpa kita sedar. Kita jarang bertanya, “Kau okay?” atau “Macam mana hari kau?” sebab kita terlalu sibuk dengan hidup sendiri. Dan bila dia buat satu kesalahan kecil, kita terus hukum dia seolah-olah segala kebaikan yang pernah dia beri hilang begitu sahaja.
Kita tinggikan suara, kita marah, kita jauhkan diri. Kita biarkan dia sendirian dalam kesakitan. Bila dia menangis, bila dia merayu meminta maaf, adakah kita peduli? Tidak… sebab kita rasa kita sentiasa betul. Kita fikir dia akan sentiasa ada, akan sentiasa bertahan walau apapun yang kita lakukan.
Tapi hakikatnya, dia pun manusia. Dia pun ada hati, ada perasaan. Dia mungkin nampak kuat, tapi dalam diam, dia simpan segala luka yang kita ukir. Dia senyum depan kita, gelak macam biasa, tapi bila sendirian, dia menangis. Bukan sebab benci, tapi sebab kecewa.
Hari demi hari, dia makin jauh. Dia tak lagi banyak bercakap, tak lagi ketawa seperti dulu. Kita perasan, tapi kita tak tanya. Kita anggap dia okay.
Sampailah satu hari, kita dapat berita yang kita tak pernah terfikir akan dengar. Dia pergi. Bukan sebab dia nak, tapi sebab dia dah tak mampu bertahan lagi. Kita cari dia, tapi dia dah tak ada. Kita menyesal, tapi semuanya dah terlambat.
Pernah tak kita fikir, bagaimana perasaannya sebelum dia pergi? Berapa kali dia menangis dalam diam, berharap ada seseorang yang akan peduli? Pernah tak kita terfikir, kalau kita luangkan sedikit masa, kalau kita tanya walau sekali, mungkin dia masih ada di sini?
Tapi sekarang semuanya dah terlambat. Kita hanya mampu menangis di depan pusaranya, menggenggam tanah yang menutup jasadnya, berharap dapat mengulang masa. Tapi masa takkan pernah kembali.
Kita selalu fikir orang yang sayangkan kita akan kekal selamanya. Kita lupa bahawa manusia ada hadnya. Dan bila seseorang yang benar-benar menyayangi kita akhirnya memilih untuk pergi, dia takkan pernah kembali.
Jadi sebelum semuanya terlambat, tanyalah pada diri sendiri—siapa yang selalu ada untuk kita? Siapa yang selalu berkorban tanpa kita sedar? Dan masihkah kita ada masa untuk menghargai mereka… sebelum mereka benar-benar pergi?
No comments:
Post a Comment